Guru-guru Matematik
berhadapan dengan cabaran yang besar dalam melaksanakan huraian sukatan
pelajaran Matematik serta cadangan-cadangan baru yang perlu dilaksanakan.
Peranan yang baru bagi guru-guru diperlukan bagi merealisasikan kurikulum
matematik yang baru.
Para guru dikehendaki
menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif kepada para pelajar. Susunan
kerusi-meja yang sesuai dapat membangkitkan semangat perbincangan, pemikiran
dan eksplorasi yang baik di kalangan pelajar. Guru seolah-olah memberitahu
mereka bahawa pembelajaran adalah penting, dan belajar matematik adalah
penting. Yang paling penting, guru menyediakan suatu medan bagi pelajar-pelajar
merasa selamat untuk berkongsi idea, juga belajar menghargai pendapat-pendapat
orang lain.
Guru juga perlu menyediakan
latihan atau tugasan dengan melibatkan semua pelajar. Guru perlu memikirkan dan
menyediakan tugasan yang membuatkan pelajar-pelajar menggunakan intelektual dan
pemikiran yang mencapah untuk memahami atau menjawab sesuatu masalah, terutama
yang berkaitan dengan kehidupan seharian.
Guru juga seharusnya
mengenalpasti bagaimana para pelajar berhubung antara satu sama lain, Soalan-soalan
seperti “ Bagaimana guru berinteraksi dengan pelajar semasa aktiviti P&P
berjalan “, “Apa bentuk soalan untuk membangkitkan pelajar berfikir dengan
lebih jauh” , “ Apa bentuk komunikasi yang dapat membantu pelajar mendapatkan
kefahaman yang mendalam dalam Matematik ”, seharusnya ada dalam diri para guru.
Guru sewajarnya membuat
analisis tentang pengajaran dan pembelajaran yang berlaku dalam bilik darjah.
Guru perlu menyoal “ Apa yang dapat dan tidak dapat dilaksanakan hari ini ? ” Apa
pembetulan yang patut diambil “,Guru tidak perlu membetulkan kesilapan pelajar
secara terus atau segera, tetapi guru boleh merancang cara bagaimana menolong
pelajar yang berkenaan mendapat semula ilmu yang tertinggal.
Akhirnya, guru disaran
supaya mempastikan pelajar merasai perhubungan antara Algebra, Sukatan, Geometri
dan Statistik. Begitu juga dengan perkaitan antara matematik dan sains,
pengajian sosial, pendidikan jasmani dan seni. Guru juga membantu pelajar
memahami perkaitan antara matematik dan perkara-perkara di luar persekitaran
sekolah.
Dengan peranan-peranan yang
dibincangkan di atas, guru-guru sewajarnya dapat menghasilkan pelajar-pelajar
yang bermotivasi tinggi dalam matematik dan berkeupayaan untuk mengaplikasikan
kemahiran matematik dalam dunia sebenar.
No comments:
Post a Comment