PENGENALAN
Setiap budaya di muka bumi ini mengamalkan
matematik. Dalam kes-kes tertentu, matematik disebarkan daripada satu budaya ke
budaya yang lain. Matematik dikatakan bermula di Mesir Purba dan Babylonia,
kemudiannya berkembang ke Greece. Penulisan matematik dalam Greek Purba
diterjemahkan kepada bahasa Arab. Pada masa yang sama, matematik di India
diterjemahkan kepada bahasa Arab. Kemudian, kebanyakan daripadanya
diterjemahkan kepada bahasa Latin dan digunapakai di Eropah Barat. Selepas
beberapa ratus tahun, matematik tersebut berkembang dan digunakan di seluruh
dunia.
Matematik merupakan mata pelajaran
penting dalam kurikulum sekolah-sekolah di negara kita. Mata pelajran ini mula
diajarkan dari peringkat tadika hinggalah menengah. Malah di kolej dan
universiti juga, matematik masih menjadi komponen penting dalam hampir
kebanyakan kursus pengajian. Matematik dapat
didefinisikan dalam pelbagai cara. Berikut adalah beberapa pengertian bagi
Matematik :
- “Matematik adalah pengkajian tentang corak/pola.”
- “Matematik adalah pengkajian tentang perhubungan / perkaitan.”
- “Matematik adalah suatu bahasa”
- “Matematik adalah suatu kajian seni”
·
“Matematik adalah berkaitan
dengan aritmetik, algebra, trigonometri, kalkulus dan sebagainya.”
- “Matematik adalah satu cara berfikir.”
- “Matematik adalah alat / rekreasi dalam kehidupan harian.”
Menerusi penguasaan matematik,
pemikiran manusia akan menjadi semakin matang. Setiap masalah akan diselidik
dari pelbagai sudut untuk mencari jalan penyelesaian. Manusia yang berjaya di
dunia ini adalah berkat penguasaan dalam bidang matematik. Tanpa
matematik maka mundurlah pembangunan manusia, pincang pemikirannya dan
bantutlah perkembangannya.
1. KEPENTINGAN DAN PERANAN MATEMATIK
1.1: PENGENALAN
Matematik telah dinamakan sebagai ‘permaisuri
bagi sains’ oleh Gauss (1777-1855), seorang ahli matematik yang terkenal pada
zaman dahulu. Seperti yang kita tahu dalam
kehidupan seharian, matematik sering wujud dan banyak digunakan dalam kehidupan.Ramai orang menganggap Matematik adalah suatu
subjek yang dikaitkan dengan nombor dan pengiraan sahaja. Sebenarnya, Matematik
mengandungi makna yang lebih dalam dan memainkan peranan yang besar dalam
kehidupan kita. Berdasarkan carian di laman web Wikipedia, Matematik ini boleh
didefinisikan sebagai pembelajaran atau kajian mengenai kuantiti, corak
struktur, perubahan dan ruang, atau dalam erti kata lain, kajian mengenai nombor dan gambar rajah. Matematik juga ialah
penyiasatan yang menerangkan struktur abstrak menggunakan logik dan simbol
matematik. Matematik memainkan peranan yang begitu penting dalam pelbagai aspek
di dunia ini. seharian. Peranan penting yang ditonjolkan oleh bidang Matematik ini
telah membuka mata masyarakat dunia untuk mempelajari Matematik dengan
sebaiknya supaya mereka tidak lagi ketinggalan.
1.2: KEPENTINGAN DAN PERANAN MATEMATIK DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN
Kehidupan
seharian manusia berkait rapat dengan matematik sama ada secara langsung
walaupun tidak secara langsung tanpa disedari. Salah satu peranan Matematik ialah untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Masalah-masalah
yang timbul ini mungkin sukar untuk diselesaikan sekiranya masyarakat mempunyai
pengetahuan cetek dalam bidang Matematik. Sebagai contoh, sekiranya peniaga dan
pembeli tidak tahu untuk membuat pengiraan
semasa jual beli sedang berlangsung, maka ini akan menyukarkan kedua-dua belah
pihak iaitu pihak peniaga dan pihak pembeli untuk berurusan. Hal ini juga akan
menyebabkan masa yang begitu berharga dibuang begitu sahaja kerana mereka perlu
mengambil masa yang lama untuk membuat pengiraan. Dalam urusan jual beli berlaku
penggunaan Matematik. penjual dan pembeli perlu cara pengiraan yang betul untuk
menjual dan membeli sesuatu. Nilai wang yang digunakan perlulah tepat supaya
tidak berlaku salah faham. Oleh itu, untuk menjadi seorang peniaga yang berkaliber,
mereka perlulah cekap dalam bidang Matematik. Bidang Matematik bukan sahaja
dilihat dalam urusan jual beli, malah ianya juga dapat dilihat semasa ingin
memasak. Dalam hal
masakan pula, untuk membuat kek memerlukan kita tahu konsep sukatan. Ini perlu
bagi mendapatkan kiraan sukatan yang betul seperti sukatan tepung mesti sesuai
dengan bilangan telur yang akan digunakan. Jika kiraan sukatan tepat maka
terhasillah aduan dan rasa kek yang diingini. Tanpa pengetahuan Matematik, maka kita tidak
akan tahu bagaimana ingin mengambil sukatan yang betul untuk menjadikan masakan
kita itu lazat ataupun tidak. Selain
itu, ketika menunggu nyalaan lampu
isyarat kita sering terfikir bagaimana pengiraan masa nyalaan lampu hijau,
merah dan kuning bagi setiap laluan agar tidak berlaku kesesatan lalu lintas.
Kita juga sering kali akan terfikir, seandainya kita dapat lampu merah, mengapa
untuk lampu lalu lintas berikutnya juga mendapat lampu merah. Begitu juga jika
mendapat lampu hijau, kita turut akan mendapat lampu hijau pula pada lampu lalu
lintas Tentu ini semua merupakan pengiraan yang memerlukan Matematik. Justeru itu, dapatlah kita ketahui bahawa
bidang Matematik ini tidak boleh dipandang enteng sekiranya kita belum
menguasai sepenuhnya bidang ini kerana ia akan mempengaruhi kehidupan seharian
kita.
1.3: KEPENTINGAN DAN PERANAN MATEMATIK DALAM BIDANG-BIDANG ILMU
Disamping itu, bidang Matematik ini juga
memainkan peranan dalam bidang-bidang ilmu lain seperti bidang Sains, Muzik,
Seni dan banyak lagi. Dalam bidang Sains, para Saintis menggunakan ilmu
Matematik sebagai tunjang utama dalam memahami sesuatu kejadian dan juga untuk
menerangkan kejadian tersebut. Contohnya kejadian siang dan malam, pasang surut
air, gerhana matahari, taufan, kelajuan cahaya dan sebagainya. Selain itu, dalam
cabang sains, matematik juga digunakan dalam eksperimen yang dijalankan yang
memerlukan pengorganisasian data-data dan penyediaan maklumat statistik
pengukuran bagi mendapatkan keputusan yang tepat. Bagi pengiraan kelajuan dan
jarak sesuatu objek memerlukan pengiraan mengikut formula yang betul seperti
dalam hukum inersia dan hukum graviti.
Peredaran dan putaran bumi dapat diketahui dengan menggunakan kaedah
pengiraan yang betul yang dijalankan oleh pakar bidang kaji alam semesta atau
astronomi. Penggunaan matematik turut berlaku dalam penentuan kiraan hari dan
bulan untuk kalendar. Manakala dalam bidang muzik, operasi
Matematik dapat dilihat dalam not-not muzik yang dihasilkan. Setiap not yang
dihasilkan ini mewakili frekuensi yang berbeza. Maka setiap not yang digunakan akan menghasilkan bunyi atau nada
yang berbeza. Ada yang bernada tinggi danjuga ada yang rendah. Pemuzik yang menghasilkan
not-not untuk membentuk sebuah lagu yang boleh membuai perasaan pendengar
adalah seorang yang mempunyai pengetahuan yang baik dalam kedua-kedua bidang
ini kerana mereka pandai mengaitkan antara Matematik dan Muzik. Matematik juga
dapat dikaitkan dengan bidang seni.
Bentuk-bentuk yang dihasilkan dalam bidang seni boleh dilihat daripada
bentuk-bentuk geometri yang dipelajari dalam Matematik. Justeru, bidang
Matematik ini mempunyai peranan yang begitu besar kepada masyarakat dunia
kerana ia saling berkait antara satu perkara dengan satu perkara yang lain.
Sekiranya sesebuah masyarakat itu menguasai ilmu Matematik ini sepenuhnya, maka
ia akan memudahkan mereka untuk melaksanakan sesuatu kerja dengan sebaiknya
kerana di dunia ini, ilmu Sains, Matematik, dan sebagainya tidak pernah lari daripada
diri manusia.
1.4: KEPENTINGAN DAN PERANAN MATEMATIK DALAM BIDANG PENDIDIKAN
Selain itu, Matematik juga memainkan peranan
penting dalam bidang pendidikan di Malaysia. Berdasarkan kajian oleh Trends in
International Mathematics and Science Study 2003, (TIMMS), ke atas subjek
Matematik, pencapaian pelajar Malaysia dalam subjek ini meningkat daripada
kedudukan ke-16 ke tempat ke-10 dan mendahului 40 buah negara yang lain
termasuk Negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS),
Australia dan New Zealand. Situasi ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar di
Malaysia ini mungkin menunjukkan minat yang begitu mendalam dalam bidang
Matematik. Mereka juga mungkin menyedari bahawa Matematik memainkan peranan
yang begitu penting dalam diri mereka. Bidang Matematik boleh menjadikan
pelajar lebih seronok dengan proses pembelajaran mereka kerana mereka
didedahkan dengan soalan-soalan yang begitu mencabar. Mereka juga tidak akan
bosan apabila membuat pengiraan yang melibatkan proses berfikir. Matematik adalah
satu cara yang membantu kita berfikir. Berfikir secara Matematik
adalah satu cara berfikir yang menggunakan konsep, kemahiran dan kaedah
Matematik dalam menyelesaikan masalah yang timbul. Terdapat ramai orang yang
apabila menghadapi sesuatu masalah, akan berusaha untuk mendalami dan
menganalisis keadaan atau punca masalah sebelum menggunakan kaedah-kaedah
tertentu untuk menanganinya. Ada yang menggunakan rajah atau jadual untuk
mengumpul maklumat dan ada juga yang menggunakan analogi untuk mencari punca
masalah. Hal ini sekaligus dapat membantu pelajar-pelajar di negara ini yang
terdiri daripada pelbagai peringkat untuk menjadi seorang yang lebih kreatif
dan dapat menggunakan minda dengan sebaiknya. Namun begitu, masih terdapat
segelintir pelajar yang masih belum menyahut cabaran untuk mendalami ilmu
Matematik ini dengan sepenuhnya.
1.5: KEPENTINGAN DAN PERANAN MATEMATIK DALAM
BIDANG EKONOMI
Penggunaan ilmu matematik juga amat
penting dalam bidang ekonomi. Ini diakui sendiri oleh ahli-ahli ekonomi. Masyarakat yang
celik Matematik adalah mudah untuk memahami analisis ekonomi yang terkandung di
dalamnya. Bagi
memahami analisis ekonomi, seseorang itu perlu celik matematik dan statistik.
Keputusan yang dibuat dalam pasaran modal, saham dan kewangan banyak berasaskan
kepada model matematik. Dalam sektor swasta pula, seorang pengurus sesuatu
firma perlu tahu untuk menggunakan pendekatan matematik bagi merancang strategi
firma yang bermatlamatkan keuntungan, seperti strategi memaksimumkan jumlah
hasil dan meminimumkan jumlah kos tertakluk kepada batasan tertentu seperti
harga input, harga output dan kuantiti input yang ditetapkan.
Malahan model struktur ekonomi boleh memberikan
gambaran kasar mengenai potensi ekonomi untuk mencapai matlamat pembangunan
jangka panjang seperti pertumbuhan pendapatan, pengwujudan peluang pekerjaan,
pengagihan pendapatan dan pembasmian kemiskinan. Pengurus sesebuah
syarikat seharusnya mengetahui penggunaan pendekatan Matematik bagi merancang
strategi syarikat yang bermatlamatkan keuntungan. Melalui situasi ini dapatlah
dilihat bahawa hubungan antara ilmu Matematik dan bidang Ekonomi ini sangat
rapat dan boleh diibaratkan seperti isi
dengan kuku. Tanpa Matematik, bidang ekonomi di sesebuah negara tidak akan
sempurna. Ekonomi negara juga boleh terjejas dan boleh menghuru-harakan
masyarakat di sesebuah negara tersebut.
Oleh itu, dapat dilihat bahawa matematik amat sinonim dalam bidang ekonomi.
1.6: KEPENTINGAN DAN PERANAN MATEMATIK DALAM
BIDANG TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)
Selain itu, matematik juga memainkan peranan
yang penting dalam perkembangan informasi dan teknologi komunikasi (ICT).
Sebagai contoh, penciptaan sistem nombor binari menyumbang kepada prosedur
pengiraan dalam komputer. Seiring
dengan kemajuan yang dicapai terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan
komunikasi (TMK) turut melibatkan pengunaan bidang matematik. Matematik
begitu biasa dengan pengiraan begitu juga dengan fungsi komputer yang boleh digunakan bagi
mengira dan pada papan kekunci diletakkan angka 0 hingga 9 namun kini fungsi
komputer telahpun banyak kegunaannya. Misalnya, bagi menghasilkan sesuatu
perisian sistem ini perlu menggunakan nombor-nombor tertentu. Begitu juga dalam proses pemprograman data
dan fail yang perlu. Sebenarnya, masih banyak lagi sumbangan matematik dalam
perkembangan TMK yang merupakan dasar ilmu komputer.
1.7:
KEPENTINGAN DAN PERANAN MATEMATIK DALAM SEKTOR PEKERJAAN
Di sektor pembinaan dan pembangunan
pula, peranan matematik turut digunakan. Semua pembinaan bangunan di dunia ini
perlu akan pengiraan skala dan ukuran yang betul dalam pelan sebelum
menghasilkannya. Para arkitek dan jurutera sememangnya adalah pakar dalam
bidang ini. contohnya, dalam pembinaan sesuatu bangunan perlu untuk tahu ketinggian
bangunan sesuai dengan struktur permukaan bumi, ukuran untuk ruang yang
diperlukan dalam satu-satu ruangan. Ukuran yang salah akan membawa kesan yang
buruk kepada sesuatu pembinaan. Dalam perancangan bandar, ilmu ini penting juga
bagi menjadikan sesebuah bandar itu strategic dan teratur keadaannya. Bandar
yang terancang menyumbang kepada penambahan penduduk dan memberi keselesaan
kepada mereka.
1.8: KESIMPULAN
Kesimpulannya,
bidang Matematik ini memainkan peranan yang begitu besar dalam kehidupan
manusia di dunia ini. Sejak kecil sehinggalah dewasa, kita sentiasa dikelilingi dengan ilmu Matematik. Ilmu ini
merentasi pelbagai bidang ilmu yang lain yang juga masih mempunyai kaitan dalam
kehidupan seharian masyarakat. Masyarakat dunia yang masih belum menguasai ilmu
ini seharusnya bertindak dengan secepat yang mungkin untuk menguasainya. Ibarat
kata pepatah “Sesiapa yang dapat menguasai Matematik dan Bahasa, maka ia dapat
menguasai dunia”. Dengan ini, dapatlah
kita lihat bahawa betapa pentingnya bidang Matematik kepada masyarakat sejagat.
Pendek kata, tanpa
kebolehan dalam matematik, segala kejayaan tidak mungkin menjadi suatu
kenyataan. Oleh itu, setiap individu harus menguasai matematik untuk terus
hidup dengan lebih produktif dan bermakna.
No comments:
Post a Comment