Friday, 30 August 2013

SPEFIKASI KURIKULUM MATEMATIK SEKOLAH RENDAH


1.1: RASIONAL PENDIDIKAN MATEMATIK SEKOLAH
Matematik merupakan wadah terbaik untuk mengembangkan profisiensi intelektual individu dalam membuat penaakulan logik, visualisasi ruang, analisis dan pemikiran abstrak. Murid mengembangkan kemahiran numerasi, penaakulan, cara berfikir dan menyelesaikan masalah melalui pembelajaran dan aplikasi matematik. Pembelajaran Matematik  menyediakan peluang untuk murid melaksanakan tugasan kreatif dan keseronokan dan teruja apabila mengetahui sesuatu yang baru. Pengalaman sedemikian   meningkatkan minat dan menjadi daya penggerakmurid mempelajari matematik di luar bilik darjah dan di peringkat pengajian yang lebih tinggi.


1.2: MATLAMAT
Matlamat Kurikulum Standard Sekolah Rendah bagi mata pelajaran Matematik adalah untuk membina pemahaman murid tentang konsep nombor, kemahiran asas dalam pengiraan, memahami idea matematik yang mudah dan berketrampilan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.


1.3: STRUKTUR PENDIDIKAN MATEMATIK SEKOLAH RENDAH
Setiap murid di Malaysia berpeluang melalui sekurang-kurangnya enam tahun pendidikan asas di sekolah. Ini merangkumi tiga tahun pendidikan di tahap I dan tiga tahun pendidikan di tahap II. Setelah itu, murid boleh mengikuti pendidikan di peringkat pengajian yang lebih tinggi.
TAHAP TUJUAN


TAHAP
TUJUAN
                        i         
Kurikulum Matematik Sekolah Rendah Tahap I
Bertujuan membina kefahaman, kemahiran matematik dan aplikasi asas.

                      ii         
Kurikulum Matematik Sekolah Rendah Tahap II
Bertujuan membina kefahaman, kemahiran matematik dan aplikasi yang lebih kompleks di kalangan murid supaya dapat digunakan dalam menangani cabaran dalam kehidupan seharian secara berkesan.


1.4: OBJEKTIF
Kurikulum Standard Sekolah Rendah bagi mata pelajaran Matematik membolehkan murid:
  • Memahami dan mengaplikasi konsep dan kemahiran matematik dalam pelbagai konteks. 
  • Memperluaskan penggunaan kemahiran operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi yang berkaitan dengan Nombor dan Operasi, Sukatan dan Geometri, Perkaitan dan Statistik.
  •  Mengenal pasti dan menggunakan perkaitan dalam idea matematik, di antara bidang matematik dengan bidang lain dan dengan kehidupan harian.
  •  Berkomunikasi menggunakan idea matematik dengan jelas serta penggunaan simbol dan istilah yang betul. 
  • Menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik untuk diaplikasi dan membuat penyesuaian kepada pelbagai strategi bagi menyelesaikan masalah.
  •  Berfikir, menaakul dan membuat penerokaan secara matematik dalam kehidupan harian. 
  • Menggunakan pelbagai perwakilan untuk menyampaikan idea matematik dan perkaitannya. 
  • Menghargai dan menghayati keindahan matematik. 
  • Menggunakan pelbagai peralatan matematik secara efektif termasuk TMK untuk membina kefahaman konsep dan mengaplikasi ilmu matematik.
1.5: KERANGKA KURIKULUM MATEMATIK
Kerangka kurikulum matematik menunjukkan program matematik yang diguna pakai di peringkat sekolah rendah. Pembelajaran matematik dirancang bermatlamatkan pembentukan murid yang berfikrah matematik.

1.6: FIKRAH MATEMATIK
Fikrah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) membawa pengertian yang sama dengan daya berfikir dan pemikiran. Dalam konteks pendidikan matematik, fikrah matematik merujuk kepada kualiti murid yang dihasratkan untuk dilahirkan melalui sistem pendidikan matematik kebangsaan. Murid yang berfikrah matematik ini merupakan murid yang berkeupayaan melakukan matematik dan memahami idea matematik, serta mengaplikasikan secara bertanggungjawab pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian berlandaskan sikap dan nilai matematik.

1.7: REKA BENTUK KURIKULUM MATEMATIK
FIKRAH MATEMATIK
1.    Bidang Pembelajaran
·         Nombor dan Operasi
·         Sukatan dan Geometri
·         Perkaitan dan Algebra
·         Statistik dan Kebarangkalian
2.    Sikap dan Nilai
·         Tanggapan, minat, penghargaan, yakin tabah dan berdaya tahan
·         Peribadi, interaksi,prosedur, intrinsik.
3.    Kemahiran
·         Kemahiran matematik
·         Kemahiran menganalisis
·         Kemahiran menyelesaikan masalah
·         Kemahiran membuat penyelidikan
·         Kemahiran berkomunikasi
·         Kemahiran menggunakan teknologi
4.    Proses
·         Berkomunikasi
·         Menaakul
·         Membuat perkaitan
·         Menyelesaikan masalah
·         Membuat perwakilan

1.8: BIDANG PEMBELAJARAN
1.    Kandungan matematik dirangkumkan mengikut empat bidang pembelajaran iaitu:
·         Nombor dan Operasi
·         Sukatan dan Geometri
·         Perkaitan dan Algebra
·         Statistik dan Kebarangkalian
2.    Kandungan bagi KSSR Matematik adalah sebagaimana berikut:
Nombor dan operasi
·         Nombor Bulat
·         Penambahan
·         Penolakan
·         Pendaraban
·         Pembahagian
·         Operasi Bergabung
·         Pecahan
·         Perpuluhan
·         Wang

Perkaitan dan algebra
·         Bagi peringkat KSSR Matematik, tiada kandungan secara tajuk yang disenaraikan, ianya lebih berupa unsur secara tidak langsung.


Sukatan dan geometri
·         Masa dan Waktu
·         Ukuran Panjang
·         Timbangan
·         Isipadu Cecair
·         Bentuk Tiga Dimensi
·         Bentuk Dua Dimensi

Statistik dan kebarangkalian

·         Perwakilan Data
·         Purata
·         Peratus

Murid harus membentuk dan meneroka idea matematik secara mendalam melalui peluang dan pengalaman pembelajaran yang pelbagai. Kesedaran harus dipupuk dan dikembangkan dalamkalangan murid bahawa idea matematik saling berkait, dan matematik merupakan ilmu yang menyeluruh; bukan cebisan pengetahuan yang terasing. Dengan kesedaran dan kefahamansedemikian, pengertian tentang idea matematik menjadi lebih bermakna, dan seterusnya dapat meningkatkan keupayaan murid untuk mengaplikasikan matematik.

Peluang dan pengalaman pembelajaran pelbagai yang disediakan seharusnya melibatkan murid secara aktif dalam pembelajaran matematik, membantu murid membentuk kefahaman mendalam tentang konsep matematik, dan membentuk pengertian yang lebih bermakna tentang idea matematik yang pelbagai. Berlandaskan kefahaman dan pengertian yang dibentuk, murid berupaya membuat perkaitan dan mengaplikasikan idea matematik, seterusnya menjadikan murid lebih yakin untuk meneroka dan mengaplikasikan matematik. Penggunaan bahan bantu mengajar, peralatan teknologi dan pelaksanaan tugasan/amali/kerja projek seharusnya dirangkum dalam pengalaman pembelajaran yang disediakan untuk murid.

No comments:

Post a Comment